Hukum Bawa Anak Kecil Ke Masjid
Kesinambungan daripada Syed Hussaini Syed Hassan menerusi Bayan Linnas, sumber daripada Pejabat Mufti itu berpendapat membawa anak kecil ke masjid adalah diharuskan.Namun, ibubapa wajib menjaga dan memastikan anak-anak yang dibawa dalam keadaan yang boleh dikawal.
Foto: aboutIslam |
Lecehlah, nanti dia bukannya solat terawih, main-main adalah. Malulah nanti kalau dia ganggu jemaah lain. Kalau ajak dia duduk sebelah, ada pula orang cakap kita putuskan saf jemaah. Hmm… Adakah tips bawa anak kecil ke masjid?
1. Lihat ‘Mood’ Anak Kecil Sebelum Ke Masjid
Penting untuk kita fahami keperluan anak-anak. Mereka boleh meragam jika tidak cukup tidur, lapar, penat, atau keadaan masjid yang terlalu ramai hingga menjadikan mereka tidak selesa.
‘Mood’ ini akan mempengaruhi tindakan serta cara kelakuan mereka.
Jika kanak-kanak masih kecil, hiperaktif, susah dikawal dan sering mengganggu jemaah, maka lebih elok tidak di bawa ke masjid.
2. Cari Tempat Yang Selesa Semasa Di Masjid
Jika kanak-kanak tidak mengganggu namun dibimbangi oleh kedua ibu-bapa akan keadaannya, maka boleh diletakkan di sebelah ibu-bapanya.
Untuk keadaan sebegini, disyorkan ibubapa untuk bersolat di tepi dinding (hujung saf) dan diletakkan anaknya itu dihujung sekali.
Cara ini lebih mudah untuk anda memantau anak anda dari semasa ke semasa.
3. Kedudukan Kanak-Kanak Dalam Saf Solat
Menurut Syed Hussaini lagi, meletakkan kanak-kanak di antara saf lelaki dewasa tidak akan memutuskan saf jemaah, seperti andaian beberapa pihak.
Ia berikutan di dalam Sahih al-Bukhari terdapat sebuah hadis yang menceritakan tentang bagaimana Rasulullah SAW menyusun saf kanak-kanak dengan mengarahkan Anas bin Malik RA berada bersama-sama kanak-kanak kecil dan kemudian Rasulullah SAW solat bersama mereka.
Jelas beliau, Al-Imam al-Mawardi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir menukilkan mengenai permasalahan di atas:
dan telah berkata sebahagian ashab kami, yang lebih utama itu adalah dengan meletakkan kanak-kanak (di dalam saf) di antara dua lelaki kerana lebih membawa kanak-kanak tersebut kepada mempelajari pergerakan-pergerakan solat. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/340)
Menurut beliau lagi, mereka tidak mengetahui salah seorang dari ulama’ yang mengatakan terputusnya saf kerana wujudnya kanak-kanak di dalam saf tersebut. Namun, kanak-kanak mampu berdikari, eloklah diletakkan mereka di saf kanak-kanak.
Lebih elok jika setiap masjid mempunyai penyelia yang mengawasi dan membimbing kanak-kanak di dalam saf dan solat mereka agar kanak-kanak dapat melakukan solat dengan sebaik mungkin.
4. Menasihati Sejak Di Rumah
Sebelum berangat lagi, anak-anak perlu diingatkan supaya berkelakuan baik di masjid. Ini akan memberi ruang kepada mereka untuk ‘bersedia’.
Jika mereka berbuat bising, panggil mereka berdekatan dengan anda dan nasihatkan mereka dengan akhlak yang baik seperti tidak menengking, tidak memarahi, mengkasari, serta tidak memukul kanak-kanak.
5. Dukung Anak Kecil Yang Menangis Atau Mengganggu
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah memanjangkan sujudnya kerana cucunya Hasan dan Husein telah memanjat di belakang baginda SAW dan bermain-main di atas belakang baginda SAW.
Ini seperti mana yang telah diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad. Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah al-Ansori RA, baginda SAW bersabda:
رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَؤُمُّ النَّاسَ وَأُمَامَةُ بِنْتُ أَبِي الْعَاصِ وَهِيَ ابْنَةُ زَيْنَبَ بِنْتِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم عَلَى عَاتِقِهِ، فَإِذَا رَكَعَ وَضَعَهَا وَإِذَا رَفَعَ مِنْ السُّجُودِ أَعَادَهَا
Maksudnya: “Aku melihat Nabi s.a.w mengimami solat sedang mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah SAW. Apabila Baginda rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud Baginda mengangkatnya semula”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 845]
Lihat cara solat sambil dukung anak kecil di artikel ini: Panduan Solat Sambil Dukung Bayi
6. Bawakan Mainan Yang Tidak Menarik Perhatian Jemaah
Apabila membawa anak kecil, kadangkala mereka mudah penat dan berasa bosan. Maka, anda boleh bawakan sesuatu untuk mengisi masanya, agar tidak mudah merengek keletihan.
Namun, pastikan barangan tersebut tidak terlalu menarik perhatian atau berbunyi bising hingga mengganggu jemaah lain. Antara yang disyorkan untuk anak kecil adalah seperti ‘softbook’, buku mewarna, ‘soft toy’, bantal, atau selimut kesukaan mereka.
7. Jangan ‘Expect’ Mereka Boleh Duduk Diam
“Kids will always be kids.” Mereka adalah fitrah dan mereka tidak boleh diharapkan agar berperangai seperti orang dewasa.
Oleh itu, sentiasa perhatikan kondisi anak anda di antara 2 rakaat tarawih tersebut. Jika mereka mengganggu atau mula kelihatan letih, nasihati mereka. Anak-anak selalu terlupa dan perlu dinasihati berkali-kali.
8. Berhenti Solat Sunat Terawih Jika Terpaksa
Jika anak anda mula meragam dan menangis sekuat-kuatnya semasa solat terawih, anda boleh mendukungnya, atau jika terpaksa, bolehlah menghentikan solat serta-merta.
Tindakan ini tidak salah kerana solat terawih adalah solat sunat, manakala tangisan anak atau gangguan yang melampau pula dikhuatiri akan mengganggu konsentrasi imam atau jemaah lain.
Jika anda dapat solat sekadar 2 atau 4 rakaat sahaja, tidak mengapa.
Menurut Bayan Linnas Siri 63: Masjid Dan Kanak-Kanak, sejarah telah membuktikan bahawa kanak-kanak telah dibawa ke masjid untuk diajarkan ibadah solat serta pembelajaran ilmu.
Bahkan kanak-kanak perlulah di bawa ke masjid semenjak kecil supaya perasaan cintakan masjid serta cintakan solat berjemaah dapat dipupuk lebih awal dalam diri mereka.
Sumber: Sirap Limau
0 Comments